Wednesday, June 29, 2011

10 gangguan ketika solat


Antara gangguan ketika melakukan solat adalah:

1)  Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram

Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.
Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.
Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

2)  Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.

Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.
“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).

3)  Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan

Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4)  Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan

Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.
Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.

Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

5)  Tergesa-gesa menyelesaikan solat

Ibnu Qayyim berkata:
“Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

Rasulullah bersabda kepadanya,
“Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.

Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6)  Melakukan gerakan yang tidak perlu

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.

“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”.

Orang itu bertanya,
 “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud.

“Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7)  Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat

Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

8)  Menguap dan mengantuk

Rasulullah bersabda bermaksud:
“Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9)  Bersin berulang kali ketika solat

Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

10)         Terasa ingin buang angin atau buang air

Rasulullah bersabda yang bermaksud:
 “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).

Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.

Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.


SUMBER : http://jalanakhirat.wordpress.com

Saturday, April 23, 2011

Makna Syahadah


MAKNA SYAHADAH
Apabila seseorang telah mengucap dua kalimat syahadah, itu bererti bahawa seseorang tersebut secara lahir batin telah mengakui bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan Muhammad adalah hamba dan Rasulullah s.a.w (utusan Allah).
            Hal ini dijelaskan dalam firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 110,Katakanlah (wahai Muhammad) :’Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya’.
            Kesimpulannya, seseorang yang telah mengucapkan syahadah, seseorang tersebut dituntut untuk mewujudkan hal-hal seperti berikut:

1.      Membenarkan semua perkara-perkara yang sahih dari Rasulullah s.a.w, antara lain berita tentang wujudnya hari kiamat, berita turunnya dajal, berita tentang syurga, neraka dan lain-lain yang telah diwahyukan Allah kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

2.      Mentaati Rasulullah. Seseorang yang mentaati Rasulullah s.a.w bererti dia taat kepada Allah. Taat di sini bererti taat dalam menjalankan perintah Allah; serta menjauhi larangan Rasulullah.

3.      Berhukum kepada sunnah Rasul. Seseorang yang menolak hukum Rasul ini sama dengan orang munafik; seperti yang dijelaskan dalam surah An-Nisa’ayat 61,”Dan apabila dikatakan kepada mereka:’Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,’nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.”

4.      Juga dalam surah An-Nisa ayat 65, “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”

Monday, April 18, 2011

Jauhi 15 Bahaya Lidah Yang Boleh Mencampakkan Seseorang ke Neraka Jahanam

Terdapat 15 bahaya yang timbul akibat ucapan (lidah) yang membawa pelakunya ke neraka, perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Mengucapkan sesuatu yang tidak perlu

Kita hendaklah menahan lidah daripada mengucapkan perkataan yang tidak berfaedah dan boleh mendatangkan dosa. Lidah perlu dibasahkan dengan zikir kepada Allah SWT

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sebahagian daripada bukti keelokan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah". (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Kedua : Terdorong mengucapkan perkara yang batil (dosa)

Bermegah-megah dan menceritakan pada orang lain perbuatan maksiat yang dia lakukan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya , terdapat orang yang disebabkan ucapannyalah ia tergelincir ke dalam neraka yang luasnya antara masyrik dengan maghrib" Dan , dalam hadis lain yang senada dengan ini, "Hanya kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam neraka". (Hadis Riwayat Muslim)

Termasuk juga suka berbantah-bantahan dengan orang alim dan tidak mahu menerima teguran dan mempertahankan pendapatnya yang jahil.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Lelaki yang paling dibenci Allah ialah lelaki yang suka perbantahan dan permusuhan".

Ketiga : Bercakap membuta tuli (tidak ikut hukum Islam dan bercakap tidak berdasarkan ilmu disebabkan kejahilannya)

Nabi SAW telah menyatakan bahawa orang yang paling dibenci dan jauh tempatnya dari baginda pada hari kiamat nanti, ialah orang yang banyak bercakap tapi tidak tentu arah kerana ia tidak berfikir sebelum bercakap.

Keempat : Memaki hamun dan cakap kotor

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Bukanlah beriman orang yang suka mencela, mengutuk, mengeji dan bercakap kotor".

Nabi SAW berpesan kepada Sayidina Ali k.wj. maksudnya :

"Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri.

Wahai Ali ! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya.

Wahai Ali ! Jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga."

Kelima : Nyanyian

Nabi SAW telah memperingatkannya melalui sebuah hadis yang bermaksud : "Nyanyian akan menumbuhkan kemunafikan (nifiq) di dalam hati sebagaimana air menumbuhkan sayur-sayuran". (Hadis Riwayat Baihaqi dan Ibnu Abu Dunya)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Selagi akan ada di kalangan umatku orang-orang yang memakai (menghalalkan) kain sutera dan nyanyian"
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 6 yang bermaksud : "Dan sebahagian manusia ada yang membeli percakapan kosong (lahwal hadis) untuk menyesatkan (orang lain) daripada Allah."

Apabila ditanya Ibnu Mas'ud makna 'lahwal hadis' dalam ayat tersebut, beliau mengatakan 'nyanyian' bukan yang lain.

Nyanyian yang dimaksudkan di sini adalah nyanyian yang melekakan daripada mengingati Allah SWT. Senikata lagunya membenarkan perbuatan maksiat. Penyanyinya pula seorang wanita yang mendedahkan aurat, berhias (tabaruj), menggunakan suara yang merdu dan mempersonakan.

Tetapi sekiranya nyanyian tersebut berunsur dakwah, tidak melalaikan kewajipan, tidak menghalalkan yang haram dan nyanyian itu dilakukan oleh lelaki atau mahram kaum lelaki dan tidak nyaring serta tidak diiringi dengan sesuatu yang haram.

Keenam : Bergurau

Bergurau tidak berdosa selagi gurauan itu tidak melampau batas, kerana Nabi SAW sendiri pernah bergurau tapi tidak pernah terkeluar daripada memperkatakan yang benar. Itu pun jarang dilakukan Nabi. Pada umumnya , banyak bergurau akan mengurangkan ketenangan dan boleh menumbuhkan kedengkian, tapi gurauan yang sedikit atau sekadar menghilangkan kebosanan, tidak mengapa.

Ketujuh : Mengejek atau memperolok-olokkan

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok -olokkan), dan janganlah pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olakkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan (ialah) panggilan buruk sesudah iman, dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujurat ayat 11)

Diriwayatkan bahawa ayat diatas diturunkan kerana utusan Tamim telah menghina golonqan fakir miskin dari kalangan sahabat Nabi SAW. seperti Bilal, 'Ammar, Shuhaib, Khabbab, Ibnu Fuhairah, Salman Al Farisy, Salim maula Abi Huzaifah dan lain lain.

Kelapan : Menyebarkan fitnah, sumpah palsu, berdusta dan berbohong.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sumpah palsu termasuk perbuatan yang mendapatkan azab besar. Selanjutnya, dalam suatu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a. disebutkan, sumpah palsu termasuk di antara perbuatan yang berdosa besar (Hadis Riwayat Tirmidzi).  

Bahkan, masih menurut riwayat Abu Hurairah, termasuk dalam lima dosa besar yang tidak diampuni dengan kafarat ialah sumpah palsu dengan maksud mengambil harta orang lain.  

Rasulullah S.A.W.  bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari."

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.”  (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)

Kesembilan : Tidak mengambil undang-undang Allah SWT dalam memutuskan sesuatu perkara.

Golongan yang mengunakan lidah-lidah mereka untuk menggubal, bersetuju dan membahaskan dan meluluskan rang undang-undang ciptaan manusia walaupun bertentangan dengan  al-Quran dan sunnah dan berhukum dengan hukuman yang di cipta oleh manusia sebenarnya golongan ini meletakkan Allah dan Rasul-Nya  dibelakangnya. Al-Quran melebalkan golongan ini samaada kafir, zalim atau fasik.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Barangsiapa tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir" (Surah al-Maidah ayat 44)

"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang zalim" (Surah al-Maidah ayat 45)

"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang fasik." (Surah al-Maidah ayat 47)

Kesepuluh : Mengumpat.

Ketika Haji Widak, Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya darah kamu , dan kehormatan kamu adalah haram atas kamu (mencabulinya) (Hadis Riwayat Jamaah)

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah SAW. bersabda , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah SAW  di tanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

Kesebelas : Mengadu domba (menghasut)

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba."

Nabi S.A.W berwasiat kepada Sayidina Ali k.wj: "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

Kedua belas : Lidah bercabang dua

Maksud lidah bercabang dua adalah seorang yang berulang alik di antar dua orang yang bermusuhan, untuk menyampaikan ucapan salah seorang daripada mereka kepada yang seorang lagi. Tujuannya adalah supaya dia disanjung oleh kedua-dua pihak dan untuk dia mendapat habuan dunia, dan supaya kedua-dua pihak sentiasa bermusuhan.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Manusia paling jahat ialah sidua muka, apabila ia mendatangi kelompok  manusia maka ia membawa muka yang satu, dan apabila ia datangi kelompok manusia yang lain maka ia membawa muka yang satu lagi."

Ketiga belas : Memuji

Ini juga termasuk bahaya yang timbul daripada lidah. Sebab , memuji seseorang yang tidak sepatutnya menerima pujian itu atau pujian yang berlebihan yang tidak sesuai dengan hal yang sebenarnya sehingga jatuh kepada dusta atau memuji orang yang sepatutnya dicela.

Suatu pujian sering membuat orang yang menerimanya besar diri dan ujub, sedangkan Nabi SAW melarang demikian.

Nabi SAW berwasiat kepada Sayidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Apabila engkau disanjung orang dihadapanmu, ucapkanlah : 'Ya Allah, jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka katakan, ampunilah dosaku apa yang mereka tidak ketahui, janganlah aku disiksa tentang apa-apa yang mereka ucapkan' . "

Keempat belas : Bersumpah setia kepada selain Allah

Allah SWT telah menerangkan di dalam al-Quran bahawa kita tidak boleh bersumpah setia kepada sesuatu sebagai tandingan bagi keagungan atau kebesaran Allah. Sumpah setia seperti itu boleh menjerumuskan orang berkenaan ke dalam neraka.

Kelima belas : Jangan berkata "kalau" pada kejadian yang telah berlaku.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud ; "Jika kamu ditimpa oleh sesuatu maka janganlah berkata: “Kalau aku berbuat demikian, tentu akan menjadi sekian-sekian” akan tetapi katakanlah: “Takdir Allah dan apa yang Allah kehendaki pasti terjadi”. Ini kerana perkataan “kalau” membuka pintu perbuatan syaitan." (Hadis Sahih Riwayat Muslim , no: 4816)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjaga lidah kita supaya sentiasa bercakap benar dan janganlah kita menyempang daripada jalan Allah SWT. Allah SWT  sentiasa bersifat benar, begitu juga para rasul bersifat sidek. Mereka memperjuangkan agama yang benar (Islam) dan mengajak manusia kepada kebenaran.Mereka berjuang melupuskan segala pendustaan, kepalsuan dan kepura-puraan dalam hidup.Mereka memperjuangkan keadilan dan nilai kemanisan hidup berteraskan kebenaran.

Apabila kebenaran di abaikan maka muncullah manusia yang sentiasa menjadikan lidahnya sentiasa buat pendustaan amalan kehidupan seharian. Secara tidak langsung membawa kepada kemusnahan keamanan ummat manusia.Kebenaran tergambar pada sifat ikhlas, jujur dan didikasi.Benar pada niat dan kemahuan fikiran dan tindakkan dan benar pada kata-kata pernyataanya.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : "Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikkan dan kebajikan itu membawa kepada Syurga. Seorang yang sentiasa berlaku benar, nescaya akan tercatat di sisinya Allah s.w.t sebagai sidek (org yg benar) dan sesungguhnya bohong membawa keburukkan dan keburukkan itu membawa ke neraka. Seseorang yang suka berbohong, nescaya tercatat disisi Allah SWT sebagai kazab(pembohong)''

 Semoga kita semua patuh dan tunduk kepada semua yang disuruh-Nya dan sentiasa diredai-Nya  di dunia dan akhirat dan dimasukan Allah SWT kedalan syurga-Nya.
Top of Form

Thursday, April 14, 2011

8 rahsia disebalik bentuk mata wanita

~Matanya seolah tersembul keluar~
 - Seorang yang bersifat baik, rela, tabah, menyenangkan dan mengikut kata. Tetapi mereka juga berkemungkinan tidak menepati janji, pendendam, tamak dan marah bila tidak puas nafsu syahwatnya.

~Mata selalu berkedip~
 - Seorang yang pemaaf, senang dibawa berbincang, memahami dan sabar. Berkemungkinan juga mereka seorang wanita yang bersifat agak baik.

~Mata jarang berkedip~
 - Wanita ini agak istimewa, bijaksana, baik pekerti, setia, adil dan bertanggungjawab,tidak cerewet, gemar untuk membantu dan berpewatakan yang mampu untuk membahagiakan seseorang.

~Matanya seolah tersembul keluar~
 - Seorang yang bersifat baik, rela, tabah, menyenangkan dan mudah untuk  mengikut kata. Tetapi mereka juga  berkemungkinan tidak menepati janji, pendendam, tamak dan marah bila tidak puas nafsu syahwatnya.

~Mata cengkung~
 - Kehendaknya sukar untuk dipenuhi, materialistik, kata-katanya manis tetapi bohong, mahu kehidupan yang senang, mudah curang, bila anda susah berkemungkinan anda tidak akan dipedulikan.

~Mata kuyu ~
- Wanita ini mudah dipermainkan, tidak dapat mengawal emosi, hati tidak tetap, mempunyai banyak kenalan tetapi yang betul-betul berkawan dengannya adalah sedikit, suka mengumpat, irihati, kejam, kasar,mencemuh, dan pemarah.

~Saiz mata kecil~
 - Seorang yang peramah tetapi kurang pertimbangan. Lelaki boleh jadi kelam kabut akibat mulutnya. Bersikap periang tapi bila marah lambat sejuknya. Apabila bercinta suka tukar pasangan kerana hatinya tidak pernah puas. Boleh bahagia dengannya jika dapat penuhi kehendak duniawinya dan melayan syahwatnya dengan baik.

~Saiz mata sedang ~
– Seorang yang sederhana, tidak banyak berahsia, memiliki pertimbangan yang baik, bertanggungjawab serta perlukan belaian mesra suami.

~Saiz mata lebar~
- Seorang yang kuat berahsia, otak kurang cergas, pemarah,bertindak tanpa fikir panjang, kurang teratur, tiada arah tujuan dan putus asa. Mereka juga berkemungkinan seorang yang setia. Nafsu syahwatnya juga agak tinggi.

Perhatian! Panduan ini hanyalah sekadar untuk pengetahuan am sahaja. Dan tiada bukti saintifik menunjukkan sikap seseorang mampu diukur dengan bentuk matanya. Ini hanyalah kajian secara kasar kepada beberapa individu dan cara terbaik untuk mengenal seseorang adalah dengan cuba untuk mendekatinya dan mengambil masa untuk mengenalinya lebih mendalam!!